Kadang-kadang di hujung tulisan-tulisan sahaya dalam buku Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah terdapat sedikit ruangan kosong. Sahaya pun terfikir, daripada membiarkannya tersia-sia begitu sahaja, ada baiknya sahaya isikan dengan pantun-pantun yang berkaitan dengan topik yang dibentangkan. Dapat jugalah dijadikan sebagai pemanis buku.
Rupa-rupanya pantun-pantun selitan ini mendapat perhatian yang agak istimewa daripada sebahagian pembaca. Daripada maklum balas yang diterima, ramai yang suka. Ada yang mengulang tulis rangkap-rangkap pilihan mereka di media sosial.
Sebenarnya sahaya bukanlah seorang pemantun. Cuma mungkinlah kerana ada ciri-ciri tertentu pada pantun-pantun itu yang membuatkan sebahagian pembaca menyukainya.
CIRI-CIRI PANTUN PILIHAN
Terdapat banyak ciri untuk mendapatkan pantun yang berkualiti, namun sahaya tidaklah mengambil kira semua itu dalam menghasilkan pantun-pantun tersebut. Sahaya cuma menggubah mengikut ciri-ciri yang sahaya suka dan terfikri ketika itu sahaja.
Antara ciri asas pantun yang sahaya mahusentuh di sini ialah rima akhirnya. Rima akhirnya kenalah dalam format a b a b. Contohnya :
Di dalam peti menyimpan kaCA, (a)
Waktu dibuka terpandang surAT; (b)
Ikhlaskan hati sebelum membaCA, (a)
Allah suka, banyak manfaAT. (b)
Bunyi CA AT CA AT itu mewujudkan kesan keindahan kepada sesuatu pantun.
Hal-hal asas yang lain tidaklah perlu sahaya sentuh. Sekarang mari kita lihat ciri-ciri yang sahaya pilih.
CIRI PERTAMA : Untuk mendapatkan pantun yang bagus, bahagian pembayangnya (iaitu dua baris yang awal) eloklah berkaitan dengan hal ehwal alam Melayu (Nusantara) pada zaman dahulu kala dari segi alam sekelilingnya, nama-nama tempatnya, peralatannya, budayanya, sejarahnya, bahasanya, dan yang seumpama dengannya.
Contohnya :
Cempedak mencelah warnanya kuning,
Baunya harum, mari di kait;
dan
Dari mana hendak ke mana?
Dari Kedah menuju Langkat;
Kurang molek jika dikaitkan dengan dunia zaman sekarang seperti :
Buah strawberi di atas lori,
atau
Dari KLIA ke Putrajaya,
CIRI KEDUA : Pembayang baris pertama dan pembayang baris kedua hendaklah berkait kisahnya. Contohnya :
Nyiur terkukur di tepi periuk
Putih warnanya nampak sekata;
dan
Membentang tikar di tepi denai,
Melintas laju si anak kera;
Kurang molek jika antara kedua-duanya tiada kaitan seperti :
Pokok bemban di tepi sungai,
Anak raja belayar ke Lingga;
Cerita pokok bemban di tepi sungai tidak berkait dengan cerita anak raja pergi belayar. Maka keindahannya sedikit kurang. Contohnya lagi :
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Makan nasi berdulang kayu;
CIRI KETIGA : Selain daripada rima akhir yang berformat a b a b, sangat cantik jika rima tengahnya juga a b a b.
Contohnya :
Nyiur terkuKUR di tepi periuk
Putih warnaNYA nampak sekata;
Jangan diuKUR rupa yang buruk,
Pandang isiNYA, itulah permata.
Bunyi KUR NYA KUR NYA itu menambahkan kesan keindahan. Begitu juga dengan rangkap pantun :
Dilindung awAN seluruh lembah,
Gunung yang beSAR nampak berbalam;
Jika tuAN rajin bersuhbah,
Insya-Allah ke daSAR tuan menyelam.
Bunyinya AN SAR AN SAR.
BERIKUT ADALAH PANTUN-PANTUN PEMANIS BUKU TERSEBUT :
1.
Di dalam peti menyimpan kaca,
Waktu dibuka terpandang surat;
Ikhlaskan hati sebelum membaca,
Allah suka, banyak manfaat.
2.
Nyiur terkukur di tepi periuk
Putih warnanya nampak sekata;
Jangan diukur rupa yang buruk,
Pandang isinya, itulah permata.
3.
Dari mana hendak ke mana?
Dari Kedah menuju Langkat;
Jika kena dengan jalannya,
Terasa indah hidup bertarekat.
4.
Beli di kota jambu karantukal,
Rupanya bulat isinya merah;
Lemah cinta untuk beramal?
Bacalah fadhilat nescaya ghairah.
5.
Terdengar bunyi di pohon tua,
Dahan meranti terpatah empat;
Jalan Ghazali untuk semua,
Dekatkan hati sesama umat.
6.
Durian belanda dibuat ubat,
Limau purut juga senduduk;
Ehwal baginda dan para sahabat,
Itulah maksud mahu diduduk.
7.
Dilindung awan seluruh lembah,
Gunung yang besar nampak berbalam;
Jika tuan rajin bersuhbah,
Insya-Allah ke dasar tuan menyelam.
8.
Bahu bergalas, pinggang berpedang,
Bilahnya kurus tajam mengerlit;
Jika yang asas sudah kecundang
Manakan lurus jalan ke langit.
9.
Membentang tikar di tepi denai,
Melintas laju si anak kera;
Walau belayar seribu sungai,
Tetap menuju ke laut jua.
10.
Tiang serambi mari disendal,
Agar tak roboh, cantik di mata;
Kesukaan Nabi menunjukkan afdhal,
Kita mencontoh kerana cinta.
11.
Menyapu lilin di atas kertas,
Supaya kukuh warkah di raja;
Jika yang lain duduk di pentas,
Kita bersimpuh di tanah sahaja.
12.
Dedaun kari berbalik-balik,
Batangnya terkupas ditimpa galah;
Jika mencari yang pelik-pelik,
Khuatir terlepas mendapatkan Allah.
13.
Menjahit guni berselang-seli,
Berisi roti sebagai bekal;
Ilmu laduni perhiasan wali,
Jatuh ke hati, bukan ke akal.
14.
Cempedak mencelah warnanya kuning
Baunya harum, mari di kait;
Jangan dibelah atau diasing,
Biarlah dicantum lalu dijahit.
PENUTUP
Begitulah al kisahnya... Sungguh pun pantun-pantun ini tidaklah setepat ciri-ciri yang sahaya maksudkan, namun sekurang-kurangnya sahaya ada berusaha untuk menghampirkannya. Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
7 Disember 2020