Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Saturday, September 03, 2016

Penciptaan Menurut Kitab2 Lama Benua India

Suatu hari saya berbual-bual dengan dua orang wanita India beragama Hindu. Kami bicarakan tentang sejarah. Kemudian terbit satu persoalan. Kata mereka, agama-agama lain seperti yang dianut oleh umumnya orang-orang Cina dan orang-orang India di negara ini ada menyembah sesuatu benda di dalam tokong atau kuil mereka, tetapi apa benda yang disembah oleh orang-orang Islam di dalam masjid? Saya pun jawablah : “Tidak ada apa-apa benda. Orang Islam sembah Tuhan sahaja lah.”

Mendengar jawapan itu, mereka terkejut, terdiam, dan kelihatan berfikir ligat buat sementara (berdasarkan mata mereka yang memandang ke atas seperti mencari sesuatu buat beberapa lama). Setelah beberapa ketika, barulah mereka kembali memandang saya dan kami pun sama-sama tertawa.

Soalan sebegini pernah juga ditanyakan kepada saya oleh seorang remaja lelaki India Hindu lebih kurang 6 tahun yang lalu. Tanyanya : “Dalam surau....ada apa? Ada batu ke...............apa-apa ke........?” Maksud soalan itu kita sedia maklumlah. Sebenarnya dia ingin tahu - orang Islam sembah apa/siapa di dalam surau? Lambat-lambat soalannya keluar. Saya pun jawab : “Tak ada apa-apa.” Lalu dia terdiam, kelihatan berfikir panjang, tercari-cari....ada sesuatu yang dia nak suarakan tapi tak terkeluar. Akhirnya dia lepaskan nafas, maksudnya tak jadi hendak bertanya, dan kami pun sama-sama tersenyum.

Berbalik kepada dua orang wanita tadi, dalam masa sesingkat beberapa minit itu kami pun saling bertukar-tukar fikiran. Saya sentuh seimbas lalu tentang Allah, Brahman, Brahma, Vishnu, Siva, Mahabhrata, Perang Kurushetra, Bagavad Gita, Krishna, Arjuna dan beberapa hal lagi.

Wanita di kanan saya keras membatu buat beberapa lama. Matanya tak berkerdip pun. Saya tanya : “Eh, kenapa ni?” Barulah dia bergerak. Rupa-rupanya dia terkejut kerana tidak menyangka yang saya tahu tentang itu semua dan boleh menceritakan pula kepadanya. Dia sangat teruja. Perkongsian kami pun jadi semakin rancak. Mereka sentuh tentang Ramayana, Raman, Sita Dewi, Hanuman dan lain-lain.

Pulang ke rumah, saya pun mengarang karangan di bawah ini. Beberapa hari kemudian, kami bertemu lagi lalu saya beri kepada mereka salinannya, termasuklah sinopsis cerita Ramayana dan isi kandungan kitab Bagavad Gita bab ke-2 (dalam bahasa Melayu Malaysia).

Di sini saya kongsikan karangan tersebut.

Asal-usul Penciptaan Alam Menurut Kitab-kitab Lama Benua India
Pada mulanya yang ada hanyalah Tuhan. Namanya Brahman. Dia sudah sedia ada sejak awal. Dia tidak ada permulaan. Dia tidak diciptakan. Dia tidak dilahirkan.

Dalam kitab Bagavad Gita bab 10 ayat 3 dikatakan :
“Orang yang mengenal Aku (Brahman/Tuhan) sebagai Yang Tidak Dilahirkan, Yang Tidak Ada Awal (Yang Tidak Ada Permulaan), Yang Maha Esa Yang Berkuasa ke atas seluruh alam.”

Ketika itu belum ada apa-apa makhluk kerana Brahman belum menciptakan mana-mana makhluk. Yang ada hanyalah Brahman sendirian.

Dalam Chandogya Upanishad 6 : 2 : 1 dinyatakan bahawa :
“Dia (Brahman/Tuhan) hanya satu (tunggal), tanpa yang kedua.”

Ketika itu belum ada alam semesta, belum ada langit dan bumi, dan belum ada dewa-dewi atau manusia. Makhluk-makhluk lain juga belum ada termasuklah udara, angin bayu, matahari, bulan, bintang-bintang, tempat, ruang, cahaya, kecerahan, kegelapan, warna, bentuk, rupa, bunyi, bau, haiwan, tumbuh-tumbuhan, lautan, air, api dan sebagainya. Yang ada hanyalah Brahman sahaja.

Oleh itu Brahman tidak dapat dilihat, tidak dapat disentuh, tidak dapat difikirkan, tidak dapat digambarkan, tidak ada rupa, tidak ada warna, tidak ada bentuk, tidak bertempat dan tidak dipengaruhi oleh ruang.

Dalam Svetasvatara Upanishad bab 4 ayat 19 dinyatakan :
“Dia (Brahman/Tuhan) tidak boleh dilihat, Dia bukan di atas, bukan keseluruhan dan bukan di tengah-tengah. Dia tidak boleh dijangkau (dicapai, dirasa, dipegang) dengan tangan. Tidak ada imej (gambar, lukisan, bayangan, gambaran, ukiran, patung) yang sama dengan DiriNya/ ZatNya.”
Maksudnya Tuhan itu langsung tidak sama dengan suatu apa juga pun.

Dalam Yajurveda bab 32 ayat 3 tertulis :
“Tidak ada rupa bagi Tuhan (Brahman) dan (Dia) tidak berbentuk/berfizikal.”
Pada kitab Yajurveda bab 40 ayat 8 tertulis :
“(Brahman/Tuhan itu) ...... tidak bertubuh (tidak punya badan fizikal), sempurna, tiada dosa, suci.”
Dalam kitab Bagavad Gita bab 11 ayat 8 mengatakan :
“Engkau (wahai manusia) tidak dapat melihat Aku (Brahman) dengan mata yang engkau miliki sekarang.”

Maksudnya Tuhan tidak boleh dilihat dengan mata. Apa sahaja yang boleh dilihat dengan mata, itu bukanlah Brahman/Tuhan. (*Bukan juga Brahma, Vishnu atau Siva).

Kemudian Brahman mula menjadikan makhluk. Dia menjadikan cahaya, ruang, tempat dan seterusnya isi seluruh alam ini.

Apabila Brahman menciptakan makhluk, maka Dia disebut sebagai Brahma, iaitu Tuhan Yang Menjadikan/Menciptakan (*Pencipta).

Setelah Brahman menjadikan makhluk iaitu alam ini dan seluruh isi serta penghuninya, maka Dia memelihara makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya itu. Sebagai Tuhan Yang Memelihara, Brahman disebut sebagai Vishnu (Pemelihara).

Selain daripada menjadikan makhluk dan memelihara makhluk, Brahman juga berperanan memusnahkan makhluk-makhluk ciptaannya. Sebab itulah ada manusia yang mati, ada manusia yang semakin tua, ada tumbuh-tumbuhan yang layu, ada gunung yang pecah dan sebagainya. Semuanya kerja Brahman. Sebagai Tuhan Yang Memusnahkan, Brahman disebut sebagai Siva (Pembinasa).

Oleh itu, ketiga-tiga Tuhan Brahma, Tuhan Vishnu dan Tuhan Siva sebenarnya ialah Tuhan Brahman itu sendiri. Keadaan ini disebut sebagai trimurti. Hanya ada satu Tuhan iaitu Brahman yang dikenali dengan banyak nama mengikut tugas-tugas-Nya.

Contohnya seorang lelaki bernama Raju. Namanya Raju tetapi sebagai bapa kepada anak-anaknya, dia disebut “daddy”. Sebagai seorang suami, dia disebut “darling”. Sebagai guru di sekolah, dia disebut “teacher”. “Daddy”, “darling” dan “teacher” bukanlah tiga orang yang berlainan tetapi seorang sahaja iaitu Raju. Perbezaan nama panggilan itu adalah berdasarkan tugas-tugas yang dilakukannya sahaja.

Dalam Bagavad Gita bab 7 ayat 23 mengatakan :
“Orang yang kurang cerdas akan menyembah para dewa, dan hasilnya adalah terbatas dan bersifat sementara. Orang yang menyembah para dewa nanti akan pergi ke langit-langit alam dewa, tetapi para penyembah Aku (Brahman) akhirnya akan mencapai langit-Ku yang paling tinggi.”

Dalam Bagavad Gita bab 9 ayat 23 menyatakan :
“Orang yang menjadi penyembah dewa-dewa lain dan menyembah dewa- dewa itu dengan keyakinan, sebenarnya (mereka) hanya menyembah Aku (Brahman) tetapi mereka menyembah Aku dengan cara yang keliru, wahai (Arjuna) anak Kunti.”

Dalam Bagavad Gita bab 9 ayat 25 mengatakan :
“Orang yang menyembah dewa-dewa akan dilahirkan/dibangkitkan/dihidupkan nanti dalam kalangan para dewa, orang yang menyembah leluhur (datuk nenek) akan pergi kepada leluhur (datuk nenek), orang yang menyembah hantu dan roh halus akan dilahirkan dalam kalangan makhluk-makhluk seperti itu, dan orang yang menyembah Aku (iaitu Brahman) akan hidup bersama Aku.”

Abu Zulfiqar
31 Ogos 2016


Related Posts with Thumbnails