Insya-Allah
majlis khatam kitab Kitab Ilmu daripada kitab Ihya’ ‘Ulumuddin akan diadakan
pada hari Isnin malam Selasa 7 Oktober 2013, iaitu pada kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin
bagi kali ke-82.
Kitab Ihya’
‘Ulumuddin ini terdiri daripada 40 tajuk besar yang setiap satunya disebut
“kitab”. Kitab Ilmu ialah yang pertama daripada 40 kitab tersebut. Masih ada 39
kitab lagi untuk kita sama-sama terokai.
Syarahan
Kitab Ilmu ini diadakan hampir setiap minggu bermula pada bulan Mac 2011 dan
dijangka berakhir pada awal Oktober 2013 ini. Maksudnya kesemua 82 kali kuliah
Kitab Ilmu mengambil masa lebih kurang dua setengah tahun untuk ditamatkan.
Dijangkakan keseluruhan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini akan selesai disyarahkan
dalam tempoh 20 ke 23 tahun.
Tempoh
pengajian yang panjang ini adalah kerana kitab Ihya’ ‘Ulumuddin di Surau An-Nur,
Trong, Perak disyarahkan dengan terperinci. Syarahan ringkasnya diadakan di
Masjid PGA (Komando 69), Ipoh yang dijalankan sebulan sekali.
Alhamdulillah,
syukur! Dengan izin-Nya, setakat ini kesemua 80 kuliah kitab Ihya’ sejak kelas
pertama berjaya dirakam dan dimuatnaik ke Youtube. Sudah ada 537 fail dan masih
berbaki sekitar 8-10 fail lagi untuk tamat. Setiap satu fail berdurasi antara 7
ke 12 minit.
Fail
1-99 adalah dalam bentuk audio.
Fail 100
dan seterusnya dalam bentuk video.
Tuliskan
“syarah ihya” di Youtube untuk bertemu.
Majlis
di Masjid PGA Ipoh juga ada dimuatnaik. Tuliskan “ihya masjid pga”. Cuma kelas
di Masjid PGA hanya dirakam bermula kelas yang ke-5.
Kitab
Ilmu dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini sangat penting. Sebab itulah Imam
Al-Ghazali meletakkannya di awal-awal kitab, bahkan mendahului Kitab Tauhid! Kitab
Tauhid pun diletakkan pada urutan ke-2! Maksudnya tentu ada sesuatu (sebenarnya
banyak) perkara penting yang Imam mahu kita hadamkan terlebih dahulu sebelum
diri kita sesuai untuk mendalami kitab-kitab seterusnya.
Selepas
ini kita akan masuk Kitab Tauhid, satu bab yang sangat ditunggu-tunggu daripada
kitab Ihya’ ini. Oleh itu, kita sangat-sangat berpesan… agar sesiapa yang mahu
mengikuti kupasan Kitab Tauhid nanti, hendaklah menyelesaikan pengajian Kitab
Ilmu terlebih dahulu. Bukan saja-saja Imam menulis Kitab Ilmu panjang lebar dan
diletakkannya di awal kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Untuk memahami dan menghayati
bab-bab seterusnya dalam Ihya’ mungkin kita boleh, tetapi untuk sampai ke tahap
menghayati, kuncinya ada dalam Bab Ilmu. Di situ antara rahsianya.
Kitab
Ilmu ialah manual kepada pembinaan bahtera Ihya’ ‘Ulumuddin. Jika kita
mengabaikan manualnya lalu terus sahaja mahu menggunakan alat-alatnya lalu membina
bahtera yang seperti bahtera Ihya’ ‘Ulumuddin, bahtera itu mungkin boleh siap
dan seiras rupa, tetapi akan jauh berbeza dari sudut-sudut yang lain.
Bahtera
Ihya’ ‘Ulumuddin meluncur laju, bahtera kita perlahan.
Bahtera
Ihya’ tiba awal, kita masih di tengah lautan.
Bahtera
Ihya’ tahan lama, bahtera kita baru dipakai pun sudah longgar skru dan paku, berbunyi
apabila dipijak atau disandar, asyik kena tukar kena perbaik.
Bahtera
Ihya’ tetap cantik, bahtera kita walaupun belum lama tapi sudah kelihatan lusuh
dan buruk.
Bahtera
Ihya’ bersih dan kemas, bahtera kita kotor dan berselerak.
Bahtera
Ihya’ tepat binaannya, bahtera kita kiat sana senget sini.
Bahtera
Ihya’ selesa dalamannya, bahtera kita sempit luas tidak menentu.
Kerana
apa?
Kerana
mengabaikan manualnya… iaitu Kitab Ilmu.
Selesaikan
Kitab Ilmu terlebih dahulu, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengikuti
pengajian kitab Ihya’ ini melalui internet. Biar diulang-ulang, lagi bagus.
Majlis
khatam Bab Ilmu itu nanti akan dibuat ala kadar sahaja, sekadar ada.
Insya-Allah akan dibuat kenduri kesyukuran dan para hadirin akan dihadiahkan
senaskah lembaran yang memuatkan isi-isi penting pelajaran kitab Ihya’
‘Ulumuddin dari kelas pertama sampailah
kelas terakhir Kitab Ilmu (masih belum siap, dianggarkan sekitar 40 mukasurat).
Kemudian kita akan mengimbas kembali isi-isi penting seluruh Kitab Ilmu. Diakhiri
dengan sedikit doa Imam Al-Ghazali yang terdapat di akhir kitab Ihya’
‘Ulumuddin.
Semoga
segala usaha kita untuk dunia dan akhirat dimudahkan Allah.
Abu
Zulfiqar
29
September 2013
(*Sebarang
perubahan akan dimaklumkan kelak)
Tazkirah
Facebook ke-16 (Mac 7, 2012)
Rajin mendengar ceramah popular memang
bagus, tapi... rajin mendengar ceramah popular DAN rajin juga mendengar kuliah
bersiri (berkitab), adalah lebih bagus.
Ceramah popular dapat mencetuskan rasa
suka kepada agama dan ilmu-ilmunya. Ceramah popular juga dapat mengekal malah
menambahkan rasa itu bagi mereka yang sudah sedia suka akan agama dan
ilmu-ilmunya.
Namun dengan hanya rajin mengikuti
ceramah-ceramah popular, tidak dapat menjadikan seseorang itu banyak ilmu
agamanya walaupun memang ada pertambahan. Tidak ada orang yang hanya
menghabiskan usahanya mengejar ceramah-ceramah popular bertahun-tahun, kemudiannya
kita dapat tahu dia berjaya menjadi seorang ilmuwan agama. Tidak ada.
Untuk mendapatkan pemantapan,
pelambakan dan pendalaman ilmu-ilmu agama, kita hendaklah rajin pula mengikuti
kuliah-kuliah bersiri. Terbukti, ramai juga mereka yang rajin mengejar
kuliah-kuliah bersiri, bertahun-tahun selepas itu akhirnya berjaya pula menjadi
seorang pengajar (atau sekurang-kurangnya ada ilmu sebagaimana pengajar
sekalipun dia tidak mengajar).
Teruskanlah mendengar/mengikuti
ceramah-ceramah popular, tapi luangkanlah juga masa untuk mendengar/mengikuti
kuliah-kuliah bersiri (sama ada secara langsung ataupun melalui media seperti
internet), sekalipun kita tidak bercita-cita untuk menjadi seorang pengajar
suatu hari nanti. Tapi... takkanlah kita tak mahu mentarbiyyah isteri dan
anak-anak? Cukupkah ilmu dan motivasi dari ceramah-ceramah popular sahaja untuk
mengajar agama kepada mereka?
Ceramah popular isinya bersifat umum.
Huraian dan bahasannya terdapat dalam pengajian berkitab. Oleh itu, jangan
berpuas hati sekadar dengan menjadi seorang peminat ceramah popular. Jadilah
juga peminat tegar kuliah bersiri (berkitab). Jumpa lagi : )
Abu Zulfiqar