Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Friday, September 16, 2011

Penciptaan Alam dalam Bible

PENGENALAN

Penciptaan alam semesta banyak disebutkan dalam kitab-kitab suci pelbagai agama. Saya sangat berminat untuk menelitinya tetapi kekangan tugas, masa dan tenaga tidak memungkinkan saya untuk menyiapkan kajian sebesar itu. Oleh itu saya kecilkan skop kerja dengan melakukan penelitian ‘sambil-sambil’ sahaja, dengan menjadikan kitab Bible sebagai bahan utama. Sekiranya ada maklumat berkaitan dalam kitab-kitab agama lain, barulah kita memetiknya. Jadi kerja sampingan saya ini dinamakan “Penciptaan Alam dalam Bible”.

Mengapa tidak jadikan Al-Quran sebagai sumber utama? Kerana sudah begitu banyak pengkaji dan penulis berbicara tentangnya, dan hasil kajian mereka juga mudah untuk kita perolehi dari internet mahupun di luar internet. Yang sukar diperolehi ialah penelitian tentang kejadian alam menurut Bible oleh seorang Muslim. Inilah yang sedang kita usahakan.

Penciptaan alam menurut Al-Quran sudah kita ketahui dan memang kita imani 100%, tapi kita teringin juga hendak mengetahui, bagaimanalah agaknya kisah penciptaan langit dan bumi dalam kitab-kitab Hindu, Majusi, Yahudi, Kristian, Buddha, Tao, Confucious, Shinto dan lain-lain.

Sepanjang penjelajahan ini, kita menggunakan Bible versi New King James Version (NKJV) sebagai teks utama, memandangkan ia antara Bible yang paling banyak digunakan di seluruh dunia. Di samping itu kita menggunakan juga beberapa versi Alkitab (Bible dalam bahasa Melayu) dan Bible sebagai perbandingan ataupun rujukan sekiranya perlu. Untuk rujukan dalam bahasa Ibrani (Hebrew), kita gunakan Hebrew Old Testament - Biblia Hebraica Stuttgartensia (BHS).


PENELITIAN 1

Ayat pertama dalam Bible mengatakan :

“In the beginning God created the heavens and the earth.” (Genesis 1:1)

Maksudnya :

“Pada mulanya Tuhan menciptakan langit-langit dan bumi.” (Kejadian 1:1)

Kesemua Alkitab dan Bible yang saya rujuk menyebut “langit dan bumi”, hanya Alkitab Kabar Baik yang menyebut “alam semesta”. Ringkas cakap, kita terimalah “langit dan bumi”.

Timbul kemusykilan apabila “heavens” yang bermaksud “langit-langit” diterjemah sebagai “langit” sahaja dalam semua Alkitab bahasa Melayu. Empat Bible (English) menggunakan istilah “heavens” manakala tiga Bible menyebutnya sebagai “heaven” sahaja.

Bersumberkan BHS, dalam bahasa Ibrani perkataannya ialah shamayim (shaw-mah-yim) yang definisinya juga tidak pasti kerana “heavens” dan “heaven” diterima kedua-duanya.

Hasil penjelajahan kita setakat ini :

1. Yang menciptakan langit dan bumi ialah Tuhan.

2. Langit dan bumi tidak tercipta dengan sendirinya.

Begitulah menurut Bible setakat ayat pertama ini. Perhatikan, kedua-dua maklumat di atas selaras dengan ajaran agama Islam.

Ada satu masalah lain. Istilah-istilah dalam bahasa Ibrani atau Latin yang bersangkutan dengan Tuhan ataupun tuhan, biasanya akan diterjemahkan sebagai “God” dalam Bible-Bible berbahasa Inggeris. Terjemahan sebegini sebenarnya membuahkan kekeliruan kerana seringkali yang bukan Tuhan disangka sebagai Tuhan.

Kita lihat semula ayat : ““In the beginning God created the heavens and the earth.” (Genesis 1:1)

Dalam bahasa Ibrani, perkataan asalnya ialah “Elohiym”. Ia diterjemahkan sebagai “God”. Tepatkah terjemahan ini?

Dalam bahasa Ibrani, “El” bermaksud “God” atau “Tuhan”. “Elohiym” pula bermaksud “gods” atau “tuhan-tuhan”. Sepatutnya ayat pertama Bible diterjemah sebagai:

“In the beginning Gods/ gods created the heavens and the earth.”

“Pada mulanya Tuhan-Tuhan/ tuhan-tuhan menciptakan langit-langit dan bumi.”

Tapi mengapa “Elohyim” diterjemahkan sebagai “God” sahaja dalam kesemua Bible (yang saya baca)? Bahkan dalam kesemua Alkitab (yang saya baca) menggantikan “Elohyim” dengan “Allah” dan bukannya “Tuhan”! Dari mana pula datangnya “Allah” sedangkan perkataan “El” sendiri bermaksud “Tuhan” dan bukannya nama Tuhan iaitu “Allah”?.

Apakah perbezaan antara “Tuhan” dengan “Allah”, “God” dengan “Allah” dan “El” dengan “Allah”?

“Tuhan”, “God” dan “El” ialah jawatan, manakala “Allah” ialah pemegang jawatan itu. “Tuhan” itu jawatan, penjawatnya ialah Allah. Kita ambil contoh. Khalifah itu jawatan, penjawatnya ialah Saiyidina Umar. Presiden itu jawatan, penjawatnya ialah Obama. Perdana Menteri itu jawatan, penjawatnya ialah Abdullah Ahmad Badawi.

Apakah nama Tuhan/ El dalam bahasa Ibrani? Atau dalam kata lain, apakah perkataan Ibrani yang semaksud dengan “Allah”? Jawapan yang mungkin ialah “Yahweh”, “Yehovah”, “Yehowah”, “Yahua” atau “Yahuah”. Mungkin juga Eloah.

Jadi, siapakah yang menciptakan langit dan bumi menurut Bible?

Bagi umat Islam, hal ini disebutkan dalam Al-Quran sebagai :

“Allah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya dalam enam masa.” (As-Sajdah : 4)

“Dan sungguh, Kami telah menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara kedua-duanya dalam enam masa, dan Kami tidak pula berasa letih sedikitpun.” (Qaaf : 38)

Pada satu ayat disebutkan “Allah” sebagai pencipta langit dan bumi, manakala pada satu lagi disebut “Kami”. Bagaimana penjelasannya?

Perkataan “Kami” dalam Al-Quran menunjukkan kebesaran Tuhan. Perkataan “Kami” juga digunakan kerana ada keterlibatan tentera-tentera Allah berupa para malaikat dalam sesuatu pekerjaan. Contohnya, pada dasarnya Allah yang menurunkan hujan, tetapi pekerjaan menurunkan hujan itu pada syariatnya dilakukan oleh para malaikat. Jadi boleh sahaja jika Tuhan mahu mengatakan : “Aku yang menurunkan hujan,” atau boleh juga Tuhan mengatakan : “Kami yang menurunkan hujan.” Kedua-duanya membawa maksud yang sama.

Begitu juga apabila Presiden Amerika Syarikat (Bush) mengatakan : “Aku yang menyerang Iraq,” kerana memang serangan ke atas Iraq terhasil daripada peranan dan kuasa Bush. Boleh juga dia mengatakan : “Kami yang menyerang Iraq,” kerana yang bekerja menyerang Iraq itu ialah kebesarannya berupa tentera-tenteranya. (Tamsilan ini hanyalah untuk menghampirkan kepada faham dan bukannya contoh yang sebenar pada hakikatnya, kerana tidak ada suatu apa pun yang boleh dicontohkan kepada Allah SWT)

Ringkasnya, penciptaan langit dan bumi dilakukan Allah SWT dan yang bekerja menciptakan kedua-duanya ialah tenteranya berupa para malaikat. Begitu menurut Islam.

Berdasarkan maklumat ini, tidak mustahil perkataan “Elohyim” yang berupa plural bagi perkataan “El” (Tuhan) itu mempunyai pengertian yang sama dengan “Kami” dalam Al-Quran. Perkataan Elohyim digunakan untuk menunjukkan walaupun pada hakikatnya El (Tuhan) yang menciptakan langit dan bumi, tetapi proses penciptaan itu melibatkan kerja-kerja tentera-tenteranya iaitu para malaikat. Mungkin inilah maksud “Elohyim”.

Hasil penjelajahan kita setakat ini nampaknya masih sama juga, dengan satu maklumat tambahan :

1. Yang menciptakan langit dan bumi ialah Tuhan.

2. Langit dan bumi tidak tercipta dengan sendirinya.

3. Proses penciptaan langit dan bumi melibatkan kerja-kerja tentera Tuhan berupa para malaikat.

Hasil sampingan yang kita perolehi ialah perkataan “Elohyim” tidaklah menunjuk kepada Tuhan itu sendiri sahaja, melainkan ia bermaksud Tuhan bersama tenteranya.



Bersambung (dan akan dikemaskini) ...


Abu Zulfiqar
Kemaskini kali pertama 16 September 2011

Thursday, September 08, 2011

Bagaimana Galaksi Ditemui?

300 tahun yang lalu, ahli-ahli astronomi menyangkakan keluasan alam semesta hanya mencecah ribuan tahun cahaya. Maksudnya tidak ada sebarang objek kosmik yang wujud selepas atau di luar Galaksi Bima Sakti.

Sebenarnya ada seorang ahli astronomi Peranchis bernama Charles Messier (1730-1817) yang terkenal dengan katalognya tentang nebula dan gugusan bintang, serta seorang pemburu komet, berjaya menemui banyak galaksi tetapi tidak sedar bahawa objek yang dilihatnya itu ialah galaksi. Objek-objek itu terus disebut sebagai nebula sahaja. Freidrich/Frederick Wilhelm Herschel (1738-1822) yang dikatakan penemu planet Uranus dan radiasi inframerah dan adik permepuannyanya Caroline Lecretia Hershel (1750-1848) berjaya menemui 2,500 galaksi yang mereka sangka nebula.

Pada tahun 1923, Edwin Powell Hubble (1889-1953) mengkaji perubahan kilauan bintang Cepheid, iaitu sebuah bintang raksasa kuning (1). Setahun kemudian, dia mendapati gugusan bintang dalam bentuk pilin di belakang Cepheid sebenarnya ialah sebuah galaksi (2).

Sejak itu manusia mula menyedari betapa jauh lebih luasnya alam semesta ini. Bayangkan, selain Galaksi Bima Sakti yang berisi kira-kira 100,000,000,000 bintang yang sedang kita tempati kini, dianggarkan terdapat 10,000,000,000 galaksi lain. WaAllahua’lam.

*Rujukan utama : “Galaksi Normal”, Majalah Kosmik, April 2010, ms 50

* (1) Menurut Harun Yahya, Edwin Hubble ialah ahli astronomi pertama yang berjaya membuktikan alam ini ada permulaan apabila dia melihat bintang-bintang bergerak menjauhi bumi dan menjauhi sesama sendiri melalui teleskop gergasi pada tahun 1929. http://www.harunyahya.com/malaysian/keindahan2.php

* (2) Menurut Harun Yahya : "Angkasa lepas dipenuhi dengan bintang-bintang, planet-planet dan meteor-meteor yang dapat dilihat di dalam filem-filem ini. Setiap satunya dikenali sebagai objek angkasa. Berbilion objek-objek angkasa ini berkumpul untuk membentuk himpunan gergasi sistem-sistem bintang yang dikenali sebagai galaksi."

Katanya lagi : "Galaksi adalah gabungan berbilion bintang. (Bintang ialah objek-objek angkasa besar seperti matahari. Bumi dan bulan bukan bintang). Terdapat tiga trilion bintang di dalam galaksi terbesar. Di dalam galaksi bersaiz sederhana, terdapat kira-kira 200 ke 300 bilion bintang, sementara terdapat sekitar 100 bilion bintang di dalam galaksi kecil." http://www.harunyahya.com/malaysian/keindahan3.php

Related Posts with Thumbnails