Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Sunday, October 18, 2009

Dialogku dengan Jin

Saya ingin kongsikan salah satu dialog saya dengan jin. Dialog ini berlaku ketika saya cuba mengeluarkan jin itu dari badan seorang wanita. Di bawah ialah bicara kami (lebih kurang).


@ Kamu agama apa ni?

# Entah, tak tahu!

@ Eh, takkan agama sendiri pun tak tahu?

# Entah! Tak ada agama!

@ Ooo... jadi kamu ni tak ada agama la ye?

# (Diam)

@ Kalau macam tu, kami nak ajak kamu masuk agama Islam. Mahu tak?

# Tak nak!

@ Eh, kenapa tak mahu?

# Tak mahulah!

@ Masuk agama Islamlah bagus!

# Agama Islam susah!

@ Eh, mana pulak susah! Islam tu indah, Islam tu mudah!

# Aku tak mahulah!

@ Allah kenal tak?

# Tak tahu Allah. (* Tapi dia menyebut ‘Allah’ dengan fasih, tidaklah berbunyi seperti sebutan orang bukan Islam ataupun muallaf di negara ini)

@ Nabi Muhammad kenal tak?

# Tak tahu, tak pernah tengok pun! Tapi dengar nama ada le.

@ Nabi Muhammadlah yang bawa agama Islam. Kamu nak masuk agama Islam tak?

# Tak mahu.

@ Kalau kamu masuk agama Islam, di akhirat nanti kamu tak masuk neraka. Kamu akan masuk syurga. Tak takut masuk neraka?

# Huh, hidup ni lama lagi (lambat lagi nak jumpa akhirat).

@ Masuk agama Islamlah! Kami ajar baca dua kalimah syahadah, kamu ikut ye?

# Tak mahu!

Berkali-kali saya pujuk dia menganut agama Islam tetapi pintu hidayah belum terbuka untuknya.


@ Kenapa masuk dalam badan makcik ni?

# Aku nak duduk dengan dia. Aku jumpa dia, aku suka dengan dia.

@ Kenapa nak duduk dengan dia?

# Saja suka-suka.

@ Mana boleh macam tu. Kesian kat makcik ni. Dia pun tak redha, anak-anak dia pun tak suka kamu masuk dalam badan dia. Kamu menyusahkan dia. Kamu keluar ye?

# Tak mahu!

@ Tak baik buat makcik ni macam ni.

# Aku tak mahu bagi dia sembahyang!

@ Tak boleh la macam tu. Makcik ni nak amalkan agama dia.

# Aku tak ada tempat nak pergi. Rumah aku dah tak ada.

@ Rumah kamu kat mana?

# Tu kat pokok depan tu. (* Pokok itu sudah ditebang)

@ Kamu keluarlah, pergi tempat lain.

# Ke mana aku nak pergi? Saudara-saudara aku semua dah tak ada. Tinggal aku seorang aje.

@ Ooo... yatim piatu le ni ye?

# (Mengangguk).

@ Kamu pindah le ke tempat lain.

# Ke mana?

@ Pindah ke laut mahu tak?

# Laut mana? Aku tak tahu di mana laut.

@ Kami tolong bawa nak tak?

# Tak mahu!

@ Pindah ke bukit mahu tak?

# Tak tahu bukit! Tak nampak bukit pun!

@ Tu di belakang tu ada bukit. Nak pindah tak? Boleh kami tolong bawa.

# Tak mahu!

@ Apalah kamu ni... jin biasanya duduk di laut, di bukit.

Pujukan agar dia mahu berpindah gagal. Kalau guru saya, biasanya dia akan berkeras dengan si jin, baik dari segi bicara mahupun perbuatan. Tapi saya banyak berlembut. Sebab itulah agaknya jin-jin kurang gentar.


@ Kalau kamu tak mahu keluar, kami akan baca lagi ayat-ayat.

# (Diam)

@ Nabi Sulaiman kenal tak? Kami panggil Nabi Sulaiman ye?

# Entah, tak tahu Nabi Sulaiman! Tak pernah tengok pun!

@ Haron Din kenal tak?

# Tak tahu Haron Din, tak pernah tengok pun!

@ Kami panggil Haron Din datang boleh?

# Jangan!

@ Eh, kenapa jangan?

# Tak mahu!

@ Panggil Ismail Kamus boleh?

# Jangan!

@ Panggil siapa yang boleh?

# Siapa-siapa pun jangan panggil!


@ Sebab kamu tak mahu keluar, kami nak pukul sikitlah!

Saya ambil serban lalu menggayakan hendak memukul belakangnya, dia mengangkat bahu tanda hendak menahan walaupun saya berada di belakang si makcik. Tiga kali saya buat seolah-lah hendak memukul dan dia bergerak seolah-olah nampak bila masa saya hendak memukul. Beberapa pukulan (sebenarnya hanya rembasan perlahan) beserta zikir dilakukan tapi nampaknya tidak berkesan. Sewaktu belajar dulu, sepatutnya pukulan dibuat menggunakan tapak tangan walaupun ke atas pesakit wanita, tapi saya kurang selesa kecualilah jin itu jenis garang dan melawan. Rembasan dengan serban, sejadah ataupun apa-apa kain pun ada kalanya berhasil juga.

@ Dekat makcik ni, kamu duduk kat mana? Kat kepala ke... kat buah pinggang ke...?

# Dekat kaki.

@ Kaki yang mana?

# Ni (sebelah kanan). (* Sejak terkena gangguan, tangan dan kaki makcik ini memang seakan-akan lumpuh sebelah kanan)

Rembasan dibuat di bahagian kaki tetapi masih kurang berkesan.


Saya doakan sebotol air mineral.

@ Kamu minum air ni ye?

# Tak mahu.

@ Air ni sedap ni. Tak mahu?

# (Menggeleng)

Air dipercikkan ke kepala, muka, dada, badan dan kakinya.

@ Rasa macam mana? Sedap tak?

# (Mengangguk)

@ Tu la, orang dah kata dah sedap! (* Sebenarnya ketika air doa direnjiskan tadi, si jin lari keluar tanpa kami sedari)

@ Nak minum tak air ni?

# (Mengangguk).

Saya berasa pelik kerana mahu pula si jin minum air doa.

@ Ini makcik ke?

# Ya, makcik. (* Patutlah dia setuju untuk minum, jin da keluar, tinggal si makcik saja).


Sekadar itu saja sesi rawatan yang mampu saya ikhtiarkan. Saya doakan sebotol air untuk dibuat ‘pagar’ dari dalam rumah. Cara-cara untuk memagar dijelaskan kepada ahli keluarganya tapi mereka minta saya tolong buatkan.

Selesai memagar, ahli keluarganya minta tengokkan tapak pokok yang ditebang. Seplastik kecil garam didoakan lalu bahagian depan rumah dipagar. Oleh kerana rumah teres, tak dapat hendak memagar sekeliling rumah. Tapak pokok itu ditaburkan garam sambil membaca ayat-ayat Al-Quran.

Kemudian keluarga si makcik terperasan beberapa tangkal yang diletakkan di atas setiap pintu. Yang peliknya , selama hari ini mereka memang mencari dan membuang segala macam benda yang boleh dianggap tangkal, tetapi baru pada malam itu mereka terperasan tangkal di setiap pintu. Seolah-olah tangkal-tangkal itu terlindung.

Ada 7 tangkal kesemuanya. Selepas berbincang dengan teman saya (yang juga seorang perawat), kami bersetuju supaya semua tangkal tersebut dibuang. Semuanya saya tawarkan dengan aliran air yang didoa bersama bacaan ayat-ayat al-Quran. Kami minta ahli keluarga si wanita membuangnya ke sungai.

Sehingga kami pulang, si jin tidak lagi mengunjungi si makcik. Cuma ketika mendengar tapak ‘rumah lama’nya hendak ditabur garam yang didoakan, si makcik berasa seram sejuk.

Thursday, October 15, 2009

Kuliah - Wujudkah Hantu?



SOALAN:

Wujudkan hantu? Tidakkah syirik atau khurafat mempercayainya?


JAWAPAN:

Hantu memang wujud. Sama ada syirik, khurafat ataupun tidak, bergantung kepada pemahaman kita.

Pertama- Untuk menjelaskan hal ini kita mengambil masyarakat Melayu sebagai contoh terhampir.

Kedua- Kita kena mengenal apa yang disebut ‘hantu’ oleh masyarakat Melayu. Sekurang-kurangnya ada empat bangsa hantu yang dikenal di alam Melayu iaitu:


1. Daripada bangsa jin

2. Daripada bangsa manusia

3. Daripada bangsa haiwan

4. Daripada bangsa alam


Perkataan ‘jin’ mungkin sekali berasal daripada bahasa Arab, dibawa masuk ke alam Melayu bersama-sama kedatangan agama Islam. Sebelum itu orang Melayu menyebut jin dengan nama yang lain dan salah satunya ialah ‘hantu’.


Jin terdiri daripada pelbagai jenis dan rupa. Masyarakat Melayu menamakan jin-jin itu mengikut jenis-jenisnya. Jin yang besar dan kuat disebut hantu raya, jin yang buah dadanya panjang disebut hantu kopek, jin yang seperti rupa kanak-kanak kecil disebut hantu toyol, jin perempuan yang mengilai-ngilai dipanggil hantu langsuir atau hantu pontianak, jin yang digunakan untuk merasuk orang dipanggil hantu polong ataupun hantu pelesit, jin yang tinggal di tanah disebut jin tanah, jin yang tinggi melangit disebut hantu galah dan macam-macam lagi.


Semua jenis jin ini dicipta oleh Tuhan dan kita mesti percaya akan kewujudannya kerana ia termasuk dalam perkara-perkara ghaib. Bukan orang yang percaya itu yang salah tetapi yang tidak percaya akan kewujudan makhluk inilah yang salah. Bukankah dalam al-Quran pun ada disebut tentang jin? Itu kan bukti kewujudannya dan bukti Tuhan mahu kita percaya akan kewujudannya?


Hantu yang kedua ialah daripada bangsa manusia. Antaranya orang-orang yang menuntut ilmu-ilmu salah hingga menjadi orang minyak, hantu harimau, serigala jadian, hantu penanggal dan lain-lain. Kadang-kadang manusia misteri yang nampak menakutkan juga disebut hantu termasuklah makhluk asing.


Hantu jenis ketiga ialah dari kalangan haiwan. Contohnya haiwan ganjil yang menakutkan orang ramai. Juga bigfoot.


Jenis keempat ialah alam. Biasanya jenis ini disangkakan hantu. Bahagian belakang daun pisang yang terkena cahaya pada waktu malam gelap akan kelihatan seperti lembaga yang menakutkan. Ia disebut hantu. Ada gua-gua yang menerima tiupan angin dan menghasilkan bunyi yang mengerikan, disebut juga bunyi hantu. Dahan dan ranting pokok yang melambai-lambai ada juga disebut hantu.


Kesimpulannya, hantu memang wujud dan mempercayai kewujudannya tidaklah khurafat ataupun syirik, bahkan memang dituntut agama supaya percaya.


Kepercayaan ini akan jadi khurafat dan syirik jika kita percaya 4 jenis bangsa hantu di atas tadi mampu memberi manafaat ataupun mendatangkan mudarat pada hakikatnya. Pada syariatnya, memang makhluk-makhluk Allah mampu memberi bekas seperti pisau yang menghiris, anjing yang menggigit, tanah runtuh yang mempenyet dan melemaskan, bau cempaka yang mengharumkan, langgaran kereta yang menyakitkan dan sebagainya. Tetapi pada hakikatnya Allah yang berkuasa memberikan kesan.

Wednesday, October 07, 2009

Mengenali Asas Agama Kristian

Dikenali juga sebagai agama Nasrani. Dibawa oleh Jesus Christ (Nabi Isa) lebih kurang 2000 tahun yang lampau. Kitab suci Kristian adalah Bible yang terdiri daripada Old Testament (Perjanjian Lama) dan New Testament (Perjanjian Baru).

Old Testament (Perjanjian Lama) ini juga berisi kitab Taurat dan Zabur, yang asalnya diturunkan Tuhan kepada Nabi Musa dan Nabi Daud. Kitab ini menjadi kitab suci bagi orang-orang Yahudi (Jew/ Jewish). Namun begitu orang-orang Yahudi menolak sama sekali New Testament (Perjanjian Baru).

New Testament (Perjanjian Baru) turut mengandungi kitab Injil, yang asalnya diturunkan Tuhan kepada Nabi Isa (Jesus). Yahudi menolak New Testament kerana mereka tidak mengiktiraf Nabi Isa sebagai seorang nabi, sebagaimana orang-orang Kristian yang menolak kitab Al Quran kerana mereka tidak mengiktiraf Nabi Muhammad SAW. Namun begitu Kristian menerima Old Testament dan menggabungkannya bersama New Testament yang dikenali sebagai Bible pada hari ini.

Orang-orang Kristian percaya yang Bible diturunkan secara ilham, bukannya secara bunyi huruf demi huruf sebagaimana ayat-ayat suci Al Quran. Sebab itulah Bible zaman dahulu tidak sama penulisannya dengan Bible yang ada hari ini malah berbeza-beza pula mengikut suasana dan tempat. Ini berbeza sekali dengan Al Quran yang masih sama penulisan dan isi kandungannya sejak 1400 tahun yang lalu.

Di antara ajaran terpenting (paling asas) dalam Kristian yang mesti di terima secara mutlak- tidak boleh dipersoalkan lagi adalah konsep Triniti. Konsep Triniti ini bermaksud tiga Tuhan dalam satu iaitu Tuhan Bapa (God/ Father), Roh Kudus (Holy Spirit) dan Jesus Christ (Nabi Isa) bersatu dalam satu gabungan sebagai Tuhan. Ada juga yang memasukkan Maria (Mariam) ibu Jesus ke dalam Triniti.

Jesus merupakan Anak Tuhan. Dia mempunyai dua keadaan iaitu badan kemanusiaan Jesus dan badan ketuhanan Jesus. Dia diutus ke dunia ini oleh Bapanya (Tuhan) untuk menebus segala dosa manusia. Untuk itu dia mesti dibunuh dan telah pun dibunuh dengan cara disalib. Maka dosa-dosa manusia pun tertebus.

‘Dosa waris’ juga menjadi ajaran asas, iaitu semua manusia mewarisi dosa daripada Nabi Adam dan Hawa (Eve) yang pernah melanggar perintah Tuhan. Dosa waris ini terhapus dengan penyaliban Jesus.

Ajaran-ajaran asas atau persoalan-persoalan pokok dalam agama Kristian ini semuanya mesti diterima secara mutlak, iaitu tidak boleh dipersoalkan lagi sama ada benar atau tidak. Barang siapa yang mempersoalkan salah satu daripada persoalan-persoalan pokok ini (atau tidak percaya salah satu daripadanya) maka menurut kebanyakan pendeta, dia bukanlah seorang Kristian lagi.

Dalam erti kata lain, semua inilah prinsip-prinsip asas aqidah agama Kristian. Sekiranya rosak salah satu sahaja daripada prinsip-prinsip kepercayaan ini maka rosaklah seluruh agama Kristian tersebut walau sebaik manapun umatnya. Sebaliknya, jika betullah semua prinsip-prinsip asas ini maka betullah seluruh agama Kristian itu walau serosak manapun umatnya. Ini kerana yang rosak adalah umat, bukan agama itu sendiri.

Umat Kristian terbahagi kepada beberapa mazhab dan aliran. Dua mazhab terbesar adalah Roman Khatolik dan Protestan yang saling bermusuhan hingga mengakibatkan pertumpahan darah sehinggalah ke hari ini. Ketua seluruh umat Kristian Roman Katholik bergelar Pope yang tinggal di bandaraya suci Kristian iaitu di Vatican City, negara terkecil di dunia yang terletak di Eropah.

Umat Kristian dan Yahudi menolak Nabi Muhammad kerana bagi mereka para nabi (utusan Tuhan) itu mestilah lahir dalam kalangan Bani Israil sahaja. Nabi Muhammad lahir daripada keturunan Arab (bukan Bani Israil), maka langsung tidak layak menjadi utusan Tuhan melainkan seorang pembohong.


MAKLUMAN
Artikel ini dipetik dan dimurnikan dari blog lama saya.



Related Posts with Thumbnails